Hal demikian kerana selepas mengeluarkan hasil bumi ber­kenaan, pengusaha dan pemilik tanah membiarkan kawasan perlombongan tanpa aspek-aspek keselamatan sehingga kawasan dikorek menjadi kolam terbiar yang membahayakan nyawa orang ramai khususnya kanak-kanak.
Lebih membimbangkan, pihak-pihak yang terlibat ketika ini saling menunding jari antara satu sama lain tentang siapa yang sepatutnya bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan di kawasan perlombongan bauksit tanpa mengambil langkah segera mena­ngani masalah tersebut.
Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, semua pihak termasuk pemilik tanah yang memajakkan tanah kepada syarikat perlombongan, peng­usaha dan agensi penguat kuasa perlu berkerjasama bagi memastikan aspek keselamatan orang ramai berada pada tahap terbaik.
Katanya, kerajaan negeri mesti memainkan peranan dan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu perlombongan bahan mineral itu terutama melibatkan kolam-kolam terbiar berdekatan dengan perumahan penduduk.
“Isu perlombongan bauksit sudah sekian lama menggusarkan penduduk terutama di kawasan berhampiran aktiviti itu. Jangan hanya fikirkan keuntungan tetapi mengabaikan aspek keselamatan orang awam,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Ali Akbar, setiap lombong bauksit yang dikorek dan tidak ditimbun kembali akan menjadi kawasan kolam terbiar yang sekali gus boleh mengancam keselamatan orang awam jika aspek keselamatan tidak diutamakan.
Katanya, sejak kejadian yang meragut nyawa pertama di Ladang Makmur Bukit Goh pada akhir Oktober 2015, pihaknya telah membangkitkan cadangan supaya memasang pagar, papan tanda amaran dan melantik pe­ngawal keselamatan.
“Sehingga kini masih tiada penyelesaian berhubung isu ini. Kami berharap jabatan berkaitan dan pengusaha lombong akan duduk semeja mencari penye­lesaian,” katanya. #sumber