Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bukti tinggalan sejarah kepahlawanan di kedua-dua kawasan tersebut masih terpelihara sehingga kini.
Menurutnya, dua kawasan tersebut boleh dibangunkan sebagai hab kebudayaan dari segi cara hidup dan adat resam Melayu yang boleh menjadi tarikan pelancong.
“Suatu masa ketika saya melawat tempat-tempat yang merupakan kampung Melayu ini terdapat banyak gua, masjid lama dan telaga yang tidak terurus dengan baik kerana tidak mendapat perhatian tetapi dengan menjadikannya sebagai hab pahlawan negeri Pahang, saya percaya ia akan diurus dengan baik.

“Selain boleh menarik perhatian pelancong berkenaan sejarah sebenar di tanah air kita, dalam masa yang sama dapat menarik pelancong datang ke luar bandar yang dikelilingi hutan menerusi ekopelancongan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom-Tok Gajah-Mat Kilau Malaysia di Saloma Bistro, Jalan Ampang di sini hari ini.


Seramai kira-kira 250 waris pahlawan pahlawan itu hadir pada majlis tersebut.
Mohamed Nazri yang juga waris serta penasihat persatuan berkata, dengan menjadikan Kampung Budu dan Kampung Pulau Tawar sebagai kawasan pelancongan, ekonomi penduduk setempat dapat dijana dengan membuka lebih banyak ruang pekerjaan.
Katanya, lebih banyak produk setempat dapat diperkenalkan sekali gus menyumbang perkembangan ekonomi negara.
Dalam pada itu, kata Nazri, persatuan itu akan bertanggungjawab menjadi pusat rujukan, menyelia, memelihara serta menyimpan bahan-bahan sejarah serta pusaka peninggalan pahlawan-pahlawan tersebut.
Kata Nazri, aspek penyelidikan perlu diperluaskan dengan merujuk kepada waris-waris yang masih ada untuk memperoleh fakta sejarah kepahlawanan yang sahih. #sumber