Judul : PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
link : PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah | Sentimen perkauman dan politik Malaysia berpisah tiada – dulu, kini dan moga-moga, bukan selama-lamanya. Agak malang apabila naratif Malaysia Baru tidak sempat menembusi dan merobohkan tembok politik perkauman dan fahaman agama sempit dalam suasana pasca 9 Mei 2018.
Lantas kita kembali berlegar-legar dalam kerangka politik perkauman, menyaksikan bagaimana sentimen kaum ini mengundang reaksi sentimen kaum itu, yang akhirnya membentuk satu pusaran untuk menenggelamkan satu Malaysia.
Pasang surut sentimen masyarakat Melayu-Muslim sering ditatapi secara rapi, namun pada kebanyakan masanya, sentimen masyarakat bukan Melayu-Muslim tidak diberi perhatian yang setimpal. Ia mungkin disebabkan nisbah populasinya yang rendah berbanding pengundi Melayu-Muslim, juga keterbatasan untuk menyelami suara hati mereka kerana kekangan bahasa.
Lebih penting, kita mengandaikan bahawa sokongan masyarakat bukan Melayu-Muslim, khususnya Cina terhadap Pakatan Harapan sebagai “deposit tetap”, memandangkan gandingan PAS-Umno menampilkan pendekatan yang lebih “eksklusif” dalam isu kaum dan agama, berbanding parti komponen yang bertunjangkan Melayu dalam Pakatan Harapan.
Justeru itu, ketika berdepan dengan asakan ketidakpuasan komuniti Cina, pemimpin atau penyokong Pakatan Harapan yang tidak terjawab apa-apa hanya menyanggah dengan soalan mudah untuk mematahkan hujah yang mempertikaikan mereka, “Apakah kamu sanggup mengundi Umno-PAS?”
Sentimen Cina selepas Kongres Maruah Melayu
Persoalannya, sejauh manakah taktik ini mujarab untuk meraih undi masyarakat Cina? Apakah sokongan Cina terhadap Pakatan Harapan (atau lebih tepat, penolakan Cina terhadap Umno-PAS) akan kekal pada paras 90 peratus ke atas, selama-lamanya, tidak kira apa pun yang berlaku? Apakah ia mustahil untuk masyarakat Cina memangkah semula calon MCA, yang hampir dibakulsampahkan mereka dalam tiga pilihan raya umum berturut-turut sejak 8 Mac 2008?
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
Sebelum fokusnya ditumpukan kepada pilihan raya kecil Tanjung Piai, lebih baik dirasai denyutan nadi masyarakat Cina secara umum. Suasana kemurungan menyelubungi masyarakat Cina selepas Kongres Maruah Melayu yang berlangsung pada 6 Oktober 2019. Ia begitu terkesan apabila tulisan seorang wartawan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily ditularkan di media sosial.
Wartawan ini mengakui bahawa dirinya memiliki beberapa peluang sepanjang hidupnya untuk menukar kewarganegaraannya kepada Singapura, memandangkan ibunya adalah warga Singapura. Namun demikian, wartawan ini tetap memilih untuk menjadi warga Malaysia, kerana dia dilahirkan dan dibesarkan di tanah air ini.
“Untuk pengamal media Cina seperti kami, serangan dan penghinaan terhadap bukan Muslim dan sekolah Cina telah menjadi sesuatu yang lumrah, ketika kami membuat liputan di Mesyuarat Agung Umno, PAS ataupun program yang diadakan oleh pertubuhan Melayu-Muslim seumpamanya. Tanpa diduga, setelah membuat liputan di Kongres Maruah Melayu, ia menzahirkan soalan apakah saya harus mempertimbangkan cadangan untuk migrasi?” tulisnya.
Ia mungkin bukan fenomena yang memeranjatkan jikalau hanya memperlihatkan angka penularan yang tinggi, tetapi apabila ia juga dikongsi oleh aktivis-aktivis yang bersungguh-sungguh untuk memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU14, maka ia menjadi petanda yang bahaya.
Ya, sesungguhnya ada pengamat politik yang membaca kehadiran perdana menteri dan menteri kerajaan Pakatan Harapan sebagai langkah strategi untuk mematahkan serangan daripada badan pendesak seperti Isma, malah Umno dan PAS – agar PH tidak kelihatan bertentangan dengan masyarakat Melayu, tetapi jelas ia bukan pandangan arus perdana dalam masyarakat Cina.
Penganjur Kongres Maruah Melayu terdiri daripada universiti awam tempatan, yang masih dianggap berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan. Apatah lagi apabila menteri pendidikan sendiri turun ke situ, dan ia mengundang tafsiran bahawa kerajaan PH yang menginisiatifkan program sebegini – sungguhpun hakikatnya tidak semestinya begini.
Dilema DAP
Situasi sebegini meletakkan DAP dalam dilema – sekali lagi – selepas isu pengenalan tulisan Jawi / seni khat dalam sekolah rendah jenis kebangsaan. Seandainya DAP mengambil sikap berkeras terhadap rakan partinya dalam Pakatan Harapan, maka ia akan mengiyakan tuduhan yang dilontarkan dalam masyarakat Melayu-Muslim selama ini, iaitu DAP mendominasi PH. Seandainya DAP berlembut dan cuba membela parti sekutunya, maka ia akan dilihat tidak berbeza dengan MCA, yang dituduhnya sebagai pengecut, malah pengkhianat di depan khalayak Cina selama ini.
Dalam situasi sebegini, sudah tentu ada golongan pemimpin DAP yang memilih untuk mengambil hati penyokongnya, agar DAP tidak terhakis sokongannya; ada pula pemimpin yang akan melakar naratif baru, untuk mengekalkan keberlangsungan PH sebagai parti pemerintah. Sementara hujah Ronnie Liu (ADUN Sungai Pelek) memenangi sorak dalam kalangan masyarakat Cina (tetapi tergadai sokongan kampung Melayu), naratif baru Liew Chin Tong (timbalan menteri pertahanan) pula mencicirkan sokongan Cina yang dikendong, itu pun belum pasti dapat mengejar hati Melayu.
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
Dalam senario sedemikian, sudah tentu sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Harapan akan merosot, kerana mustahil ada ruang lagi untuk melonjak, andainya hasil kaji selidik bahawa 95 peratus pengundi Cina menolak BN dalam PRU14 itu tepat. Persoalannya, sejauh manakah kadar penurunannya, dalam PRK Tanjung Piai?
PRK Tanjung Piai
Beberapa faktor perlu diambil kira dalam PRK Tanjung Piai. Pertama, MCA berjaya meletakkan calonnya Wee Jeck Seng, sungguhpun berdepan dengan tekanan daripada Umno sebelum ini; Kedua, rekod perkhidmatan Wee Jeck Seng yang agak positif dari kaca mata pengundi tempatan, sepanjang dua penggal beliau terpilih sebagai ahli Dewan Rakyat Tanjung Piai (2008 - 2018), dan ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas (2004-2008); Ketiga, MCA kini hanya tinggal seorang ahli Dewan Rakyat, iaitu presidennya, Wee Ka Siong, yang sudah tentu mencungkil rasa simpati anggota MCA tempatan, dan mungkin pengundi tempatan.
Lebih-lebih lagi, ramai dari kalangan masyarakat Cina tidak begitu senang dengan DAP selepas PRU14, dengan faktor yang pelbagai. Sementara tidak dinafikan bahawa sesetengah komuniti Cina masih membaca politik melalui kaca mata perkaumannya (termasuk sesetengah pemimpin DAP), hakikatnya, ketidakserasian antara naratif dengan langkah politik menjadikan pengundi semakin sangsi dengan keikhlasan DAP-PH.
Misalnya, apabila tercetusnya kontroversi pengenalan tulisan Jawi / seni Khat di sekolah jenis kebangsaan, pemimpin DAP menyeru agar masyarakat Cina berfikir di luar kerangka “Cina”, sebagai langkah untuk meredakan penentangan terhadap silibus baru itu. Jadi apabila tercetusnya Kongres Maruah Melayu, maka pemimpin DAP pun disindir, mengapa tidak diseru agar perdana menteri dan Bersatu berfikir di luar kerangka “Melayu”?
Situasi sedemikian menyukarkan masyarakat Cina untuk menaruh kepercayaan kepada pemimpin DAP-PH. Semakin ramai dalam kalangan Cina yang akan percaya, bahawa naratif baru kononnya yang dibina pemimpin DAP tidak lain tidak bukan sebagai taktik untuk mengekalkan kuasa. Untuk mereka, DAP semakin mirip MCA, malah ada yang menyindir bahawa DAP lebih MCA dalam bab menyedapkan hati masyarakat Melayu-Muslim.
Untuk menjinakkan DAP, tidak mustahil sesetengah pengundi Cina memangkah MCA semula, agar DAP berdepan dengan saingan daripada MCA. Lebih-lebih lagi, calon PH dalam PRK Tanjung Piai berasal dari Bersatu, yang imej dan naratif politiknya tidak jauh berbeza dengan Umno, dari kaca mata masyarakat Cina. Situasi menjadi lebih ketara, apabila sindiran PH terhadap Umno-PAS menggunakan hujah mereka sebelumnya, “Undi calon Muslim” – ditafsirkan sebagai “PH juga memainkan isu perkauman dan agama” oleh masyarakat Cina.
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
Lagipun, media arus perdana bahasa Cina kini tidak memihak kepada Pakatan Harapan. Ruang kebebasan sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi liputan yang seluas-luasnya kepada pembangkang, iaitu calon MCA. Inilah antara cabaran yang dihadapi PH dalam PRK Tanjung Piai, dan bakal dihadapi dalam PRU15. - mk
Berminat beriklan di web Addin?Jika berminat sila send ke
PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah
Sekianlah artikel PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Sudah dibaca PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah linknya https://malaysiadansekitarnya.blogspot.com/2019/11/prk-tanjung-piai-sentimen-masyarakat.html
0 Response to "PRK Tanjung Piai : Sentimen Masyarakat Cina Boleh Berubah"
Posting Komentar