Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, kerajaan negeri tidak mengambil mudah perkara itu dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Setakat ini, tiada laporan tentang kes H5NI atau selesema burung di negeri ini tetapi kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kita telah meminta semua pusat kesihatan, hospital dan klinik melakukan pemantauan supaya kes ini dapat dikesan awal sekiranya berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Cakna Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rok di sini, semalam.   
Utusan Malaysia hari ini mela­porkan wabak H5N1 yang melan­da Kelantan yang kini diisytiharkan sebagai bencana negeri dan diletakkan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hal demikian kerana wabak tersebut didapati semakin mere­bak sehingga melibatkan 23 buah kampung di empat jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok. 
Dalam pada itu, Norol Azali berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia dan mempunyai keupayaan yang mencukupi bagi menangani penularan wabak tersebut.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai tidak panik de­ngan penularan wabak itu di Kelantan memandangkan pemantuan dan persediaan dilakukan secara berterusan oleh kerajaan negeri.
“Pemantauan menyeluruh me­lalui kehadiran pesakit di klinik dan hospital serta pemantauan terhadap unggas terus dilakukan oleh pihak-pihak terlibat,” katanya. #sumber