Judul : Diplomasi martabak
link : Diplomasi martabak
Diplomasi martabak
ULASAN | Kita mungkin tidak dapat menyalahkan seseorang yang terasa atau terhina apabila ada mana-mana individu yang tiba-tiba berkata: "Mampus kau dikoyak-koyak sepi".
Bagi sesiapa yang kurang cakna dengan sastera - apa lagi sajak - ungkapan itu dibatasi garis sempadan sangat kabur untuk membezakannya antara kata-kata puisi dan mengeji.
Ia adalah ayat terakhir pada sajak Chairi Anwar pada 1943 berjudul "Sia-sia". Mengikut seorang "lelaki romantis" yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang bahasa Melayu, ayat "mampus kau dikoyak-koyak sepi" itu adalah suatu pernyataan perasaan.
Ia adalah ayat hiperbola kalau dibincangkan mengikut disiplin seni dan sastera.
Walaupun dia hanya memiliki sebuah kereta Nissan Almera, saya tetap yakin dengan kata-katanya.
"Mampus kau dikoyak-koyak sepi" itu adalah ayat hiperbola.
Membaca ayat itu tanpa memahami konteksnya akan menyebabkan seseorang terkeliru.
Ia kira-kira sama macam kita mendengar seorang pemimpin parti mahu "menyekeh" kepala seorang mufti. Ia berbunyi kasar, keras dan seakan menghina.
Ia sempat mencetuskan debaran kepada ramai orang beberapa hari selepas ungkapan itu dilafazkan dalam ceramah PAS. Bersama kata "sekeh" itu, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali juga - dengan penuh semangat - menyatakan kesediaannya untuk berdebat atau berhujah dengan sesiapa saja yang menganggap usaha PAS meminda Akta 355 bukan suatu kewajipan.
Pertemuan penuh ukhuwah
Kemudian Dr Rozaimi Ramle pun menyambutlah. Bukan dengan kata-kata saja, malah dengan surat rasmi kepada PAS. Beliau bersedia berbalas hujah dengan ketua penerangan Dewan Ulama PAS itu.
Secara logik, memang baguslah kalau kedua-dua mereka dapat bersemuka atas apa nama sekali pun, sama ada debat, muzakarah, diskusi atau polemik.
Pedulilah jika Khairuddin dan Rozaimi mahu bersemuka melalui majlis berbalas pantun pun, asalkan ada manfaat dapat dikongsi bersama oleh masyarakat.
Kemudian mufti yang dimaksudkan oleh Khairuddin itu - Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin - berkata beliau mahu berdialog dengan orang yang bertanggungjawab membawa usul pindaan Akta 355 itu ke parlimen. Orang itu Datuk Seri Abdul Hadi Awanglah.
Ketika debaran semakin kencang, kita kemudian akhirnya dikhabarkan betapa Khairuddin dan Asri tiba-tiba bersemuka dalam suasana penuh "ukhuwwah".
Terima kasih kepada martabak.
Ia menjadi saksi kepada pertemuan dua tokoh yang masing-masing bergelar "Datuk" dan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD). Kedua-duanya adalah ulama. Cuma salah seorang itu dibezakan dengan kedudukannya yang "pening" dan disarankan untuk "disekeh".
Itu namanya diplomasi martabak. Jika sebelum ini kita membenarkan negara berbelanja lebih RM30 juta untuk tiga ekor panda China atas prinsip diplomasi, apa salahnya dua tokoh bergelar "Datuk" dan ada PhD dipertemukan atas dasar diplomasi martabak?
Sekurang-kurangnya kita boleh tahu bahawa ungkapan "sekeh" itu tidak dimaksudkan meluku secara fizikal sebaliknya sekadar suatu "bidalan orang Terengganu".
Begitulah indahnya politik negara kita yang dipraktikkan dengan bidalan demi bidalan. Dan dengan penjelasan Khairuddin itu, agak selamat untuk kita menganggap partinya adalah sebuah pertubuhan siasah yang penuh dengan bidalan.
Tentu kita masih ingat bagaimana pemimpin PAS itu "membaruakan" pihak yang dianggap menderhaka kepada parti itu.
Begitu juga dengan ungkapan syahdu "barua" dan "broker" yang pernah diucapkan pemimpin utama PAS pada September 2014 lalu.
Begitu juga dengan beberapa bidalan lain yang penuh dengan hikmah dan tebal bersalut budaya Melayu, seperti "jentik", "anjing menyalak", "serigala" dan "babi" pernah dilafazkan oleh pemimpin PAS.
Nak saman atau bidalan
Semuanya adalah bidalan yang wajar dan absah kerana ia dibuat atas nama agama dan demi agama. Bukankah PAS itu sebuah parti yang ada nama agama padanya?
Islam mengajar umatnya berkasih sayang sesama saudara dan tegas serta keras kepada musuh? Dalam konteks ini, tentulah dapat difahami mengapa - dan bagaimana - PAS berpendirian tekal kepada sesiapa saja yang tidak sependapat dengannya.
Bukankah PAS itu sebuah parti yang ada nama agama padanya?
Justeru ia mungkin dapat menjawab kekeliruan kita pada sifir politik parti itu dalam sikap mereka selama ini.
Rang undang-undang persendirian dibawa PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu kemungkin besar bukanlah bidalan parti berkenaan walaupun setakat ini ia masih belum dibahaskan di Dewan Rakyat.
Namun bagaimana dengan cadangan menyaman beberapa pihak yang tidak disenangi PAS seperti Sarawak Report dan Datuk Husam Musa? Adakah kenyataan mahu menyaman itu juga suatu bentuk bidalan?
Atau bagaimana dengan insiden exco Kelantan mendakwa Husam "lari" daripada debat ketika bekas naib presiden PAS itu "mari" ke majis ceramah berkenaan.
Kemungkinan besar PAS Kelantan mengajar kita mengenai takrif baru bidalan, iaitu "lari dari debat" ketika orang yang dituduh itu benar-benar hadir secara fizikal di majlis berkenaan.
Apakah maksud bidalan? Mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, bidalan bolehla diertikan sebagai susunan kata-kata yang sering kali disebut, mempunyai erti khusus dan mengandungi nasihat, peringatan dan sebagainya.
Dengan itu fahamlah kita akan kelicikan politik PAS dalam usaha mereka mahu menguasai Putrajaya ini. Adakah keyakinan itu juga suatu bidalan atau tidak, mungkin dapat dijawab jika pihak yang berkepentingan dapat bersemuka dan berdiskusi melalui prinsip diplomasi martabak tadi.
Mengambil semangat Khairuddin dan Asri yang berlangsung penuh mesra, hangat dan penuh rasa persaudaraan pada 3 Mac lalu memang wajar untuk kita mencontohi kaedah diplomasi martabak itu.
Memanglah sebelum Khairuddin berjumpa Asri, kata-kata anggota parlimen Kuala Nerus itu terlebih dulu sampai ke pengetahuan mufti berkenaan.
Ia sesuai dengan kenyataan bersemangat Khairuddin: "Ambik rakaman ni anto (hantar) ke dia. Tok peti (mufti) ni dia pening sokmo".
Namun melalui diplomasi martabak itu, ia sekurang-kurangnya dapat meredakan sikap saling mengeji dan berseteru sesama ilmuan, malah orang biasa di peringkat akar umbi.
Kegagalan meredakan keadaan hanya akan memburukkan lagi keadaan. Ingat, at-Takiri sekeh berdiri, pengikut sekeh berlari.
Saya sayang enta.
AL-ABROR MOHD YUSUF anggota redaksi Malaysiakini
Diplomasi martabak
Sekianlah artikel Diplomasi martabak kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Sudah dibaca Diplomasi martabak linknya https://malaysiadansekitarnya.blogspot.com/2017/03/diplomasi-martabak.html
0 Response to "Diplomasi martabak"
Posting Komentar