KUANTAN: Siapa sangka bangunan yang digunakan untuk bermain futsal di Taman Polo di sini, turut dihuni sebuah keluarga sejak setahun lalu.


Aminah Abdullah, 30, berkata, dia terpaksa tinggal di dalam bangunan itu selepas tidak mampu mencari rumah sewa baru.

Menurutnya, sebelum ini dia menyewa rumah di Taman Tas dengan sewa bulanan sekitar  RM250 hingga RM300 sebulan, bagaimanapun pemilik rumah itu meminta keluarganya berpindah.

“Pemilik rumah nak tinggal di rumah tu, jadi kami kena pindah. Suami saya ada cari rumah juga tapi mahal.

“Suami minta tolong kawan-kawan dia carikan rumah, dan nasib baik pengurus bangunan ni kasi kami tinggal di sini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, suaminya, Umar Abdullah, 49, hanya bekerja sebagai tukang urut dan pendapatannya tidak seberapa kerana ia bergantung kepada kehadiran pelanggan.
“Kalau satu hari pelanggan ramai, banyak la dapat upah. Ada juga tak dapat langsung duit sebab tak ada pelanggan.

“Hidup kami boleh diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan serba kekurangan,” katanya.

Aminah dan suaminya yang sudah memeluk Islam dua tahun memberitahu, kehidupannya banyak bergantung kepada simpati rakan-rakan Melayu.

“Ada saja yang datang belikan barang-barang dapur, Alhamdulillah," katanya.
Meskipun dihimpit kesusahan hidup, Aminah berasa bertuah kerana mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Dia yang memperoleh kira-kira RM700 sebulan daripada dua agensi terbabit amat bersyukur.

“Wang ini saya akan belanjakan untuk anak-anak (Firdaus, 6 dan Khatijah, 3) dan beli barang keperluan dapur,” katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada penderitaan dialami keluarga tersebut, Adun Beserah, Andansura Rabu  dan Adun Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabbar membantu untuk menempatkan keluarga itu ke Flat Pak Mahat.


Menurutnya, pihaknya akan segera menguruskan urusan pemindahan itu.
“Oleh kerana Aminah tinggal tiga beranak di kawasan ini, saya bimbang lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana kawasan di sini sunyi," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya akan cuba menempatkan anaknya di sekolah yang berdekatan dengan flat tersebut dan mengajar agama kepada mereka.

Katanya, oleh kerana mereka saudara baru, bimbangan agama perlu diberikan.
“Anak-anak mereka masih kecil, jadi didikan agama perlu diterapkan,” katanya. #sumber